Kini sudah hampir 10 tahun Melinsung Apartment dibuka. Bagaimanapun, kawasan perumahan ini masih terjaga dengan rapi. Rumput masih dipotong dan sampah masih dibersihkan oleh pihak pengurusan. Bekalan air juga memuaskan. Catuan air hanya berlaku pada musim hujan yang panjang. Manakala kawalan keselamatan masih berjalan dengan baik walaupun anggota yang bertugas tidak lagi ramai seperti dulu.
Terdapat sebuah bangunan unik yang berbentuk kapal di dalam kawasan perumahan ini. Bangunan ini terletak berdekatan pantai. Dahulu, bangunan ini pernah dijadikan restoran. Beberapa kursus anjuran jabatan kerajaan dan pihak swasta pernah diadakan di bangunan ini. Walau bagaimanapun bangunan ini kini kosong. Namun, bangunan ini masih cantik jika dilihat dari jauh.
Berhampiran dengan bangunan kapal ialah kawasan taman rekreasi. Di taman ini terdapat pohon-pohon ru yang tumbuh secara semulajadi, pokok-pokok bunga yang cantik dan landskap yang menarik. Taman ini juga mempunyai pantai yang bersih dan indah. Sebab itu dahulu, ramai orang luar yang berkelah di sini.
Semasa kawasan perumahan ini mula-mula dibuka dahulu, ramai pemilik rumah menjadikan tempat ini sebagai tempat beristirehat pada hujung minggu. Lagi pun ramai di antara mereka tinggal dan bekerja di tempat lain. Pada hari-hari bekerja, tempat ini akan menjadi sunyi dan lengang. Kawasan ini hanya menjadi ramai pada hujung minggu atau jika ada cuti umum.
Tapi kini keadaan telah jauh berubah. Sejak projek Petronas beroperasi di Kimanis, ramai pekerja yang terlibat dengan projek berkenaan menyewa dan tinggal di sini. Hal ini menyebabkan keadaan pada sebelah pagi dan petang di sini menjadi sibuk dengan mereka yang pergi dan balik bekerja.
Selain itu, terdapat berbagai jenis kenderaan yang keluar masuk ke kawasan perumahan ini. Paling banyak ialah kenderaan pacuan empat roda. Walau bagaimanapun jalan raya ke Pekan Papar dan Kota Kinabalu masih belum dinaik taraf. Akibatnya, berlaku kesesakan jalan raya pada masa-masa tertentu. Tetapi, tinggal di Melinsung Apartment masih lagi seronok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat, lucah atau kurang sopan tidak akan disiarkan.